GUA MUSANG: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat Malaysia yang berada di luar negara, supaya melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menyedari diri mereka ditipu serta berdepan ancaman keselamatan.

Beliau berkata orang ramai juga diminta lebih berhati-hati, semasa berada di negara jiran.

"Saya fikir ada nasihat yang diberikan dan menyeru supaya nasihat ini diikuti, jadi sila maklumkan.

"Kepada mereka yang mahu ke luar negara haruslah memberitahu pihak berkuasa terlebih dahulu, bagi mengelak perkara tidak diingini atau yang semacam ini daripada berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Taman Etnobotani, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan Bernama pada 11 Okt lalu, berhubung seorang pemuda dan wanita didakwa dijual kepada sindiket pemerdagangan orang oleh kenalan semasa bercuti di Thailand.

Mangsa yang dikenali sebagai David (bukan nama sebenar), mendakwa seseorang dalam kumpulan rakan WhatsApp yang disertainya, mengusulkan satu peluang perniagaan sambil bercuti di Chiang Mai, Thailand.

Bagaimanapun, mereka dipercayai diculik dan dijual kepada pusat penipuan di Laukkaing, Myanmar, di mana mereka ditahan selama dua minggu di sana.

-- BERNAMA